Skip to main content

Institut Darul Ridzuan

Upcoming Event

28 August - 6 September 2026

-

MAHA 2026

MAHA 2026

28 August – 6 September 2026
YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak
Event Summary

MENYEMARAKKAN ASPIRASI PERAK SEJAHTERA 2030 DI MAHA 2026

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merupakan pameran dwitahunan terbesar negara yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemain industri, usahawan, penyelidik serta masyarakat bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan inisiatif pembangunan sektor agromakanan negara.

Sebagai antara negeri yang mengambil bahagian, Kerajaan Negeri Perak menerusi Pavilion Negeri Perak dengan penyertaan pelbagai jabatan, agensi dan rakan strategik, membawakan pelbagai pengisian yang mempamerkan potensi ekonomi, inovasi, produk tempatan serta agenda pembangunan negeri yang menyokong keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.

Selaras dengan tema Pavilion Negeri Perak, "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan (Value Creation for Food Security)", pengunjung berpeluang menyelami pelbagai inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan ke arah membina sebuah negeri yang lebih mampan, berdaya tahan dan sejahtera.

Pavilion Negeri Perak akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak pada 29 Ogos 2026 (Sabtu) jam 3.00 petang.

 

RERUAI PERAK SEJAHTERA 2030

Institut Darul Ridzuan (IDR), melalui Reruai Perak Sejahtera 2030, bakal mengetengahkan agenda pembangunan negeri Perak melalui pelbagai kandungan dan aktiviti interaktif yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai aspirasi serta hala tuju Perak Sejahtera 2030 dengan lebih mendalam.

Reruai ini bakal memperlihatkan bagaimana agenda pembangunan negeri diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat. Antara aktiviti yang bakal diadakan di Reruai Perak Sejahtera 2030 adalah Kuiz Interaktif (Kahoot), Survei Persepsi Pengunjung serta pelbagai aktiviti lain dengan hadiah menarik yang boleh dimenangi.

 

BERSAMA MEMBINA PERAK SEJAHTERA 2030

Penyertaan Perak Sejahtera 2030 di MAHA 2026 bukan sekadar sebuah pameran, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui penyampaian maklumat yang lebih dekat, interaktif dan mudah difahami, sekali gus dapat bersama-sama menjadi sebahagian daripada usaha merealisasikan aspirasi Perak Sejahtera 2030 demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

 

Scroll to Top